Wednesday, December 1, 2010

BAPA BOREK ANAK RINTIK

Teringat kepada arwah bapa, setiap kali selesai makan nasi di rumah, pastinya dia akan membawa pinggan yang digunakan ke dapur, dibasuhnya dan diletakkan ditempat pinggan bersih. Tak pun disuruhnya anak-anak ikut apa yang dia lakukan.

Disamping itu, dia juga banyak membantu kerja-kerja rumah; menyapu sampah, bantu basuh kain, membersihkan sawang dan lain-lain. Dalam bulan Ramadhan, dia akan bangun awal waktu sahur, masak air dan menanak nasi. Selepas itu, barulah dia akan mengejutkan mak dan kami adik beradik.

Bila saya perhatikan, Alhamdulillah adik-adik lelaki saya sedikit sebanyak mengikuti tabiat baik bapa saya. Sesuailah dengan peribahasa, bapa borek anak rintik.

Berpandukan kisah di atas, dapat dilihat peranan bapa dalam pendidikan anak-anak, dalam membentuk akhlak dan tingkah laku anak-anak. Peranan mendidik anak-anak adalah peranan bersama ibu dan bapa; tidak hanya diserahkan kepada ibu sahaja.

Sifat minat membaca, sifat dan gaya kepimpinan, cara anak berurusan dengan orang dewasa dan dengan kawan-kawan juga dikutip dari contoh tauladan yang ditunjukkan oleh bapa (dan ibu) serta dari guru-guru mereka.

Daripada pemerhatian saya, ada beberapa tabiat kami yang juga dikutip oleh anak-anak kami.

Ada kalanya, tidak perlu si bapa atau si ibu bercakap banyak, anak-anak akan meniru perbuatan orang dewasa. Oleh yang demikian, untuk menjadikan anak-anak kita cemerlang, kita sendiri perlu cemerlang.

Semoga ada kebaikan yang dapat dikutip dari coretan ini.

Saturday, November 20, 2010

CIPTA MASA BERKUALITI BERSAMA ANAK

Sering kali ketika aku berada di kompleks membeli belah atau di restoran, mahu pun di warong; aku melihat gelagat ibu-ibu dan bapa-bapa muda melayani karenah anak-anak kecil mereka dengan marah-marah, menggunakan bahasa yang tidak sedap didengari dan suara nada tinggi. Apapun karenah anak-anak ini, sepatutnya ibu dan bapanya melayani mereka seperti kanak-kanak; tidak wajar dilayani seperti anak yang telah remaja.

Memang benar, ibu dan bapa perlu mempunyai kesabaran yang tinggi apabila berdepan dengan karenah anak-anak ini. Mereka perlu dipujuk dengan kata-kata yang sopan. Terangkan menggunakan laras bahasa mereka mengapa kita tidak benarkan membeli barang yang dia kehendakki. Apa kebaikan dan apa keburukannya. Mereka akan memahaminya, walaupun tidak sepenuhnya.

Sambil memberi sedikit ilmu kepada mereka, kita juga perlu menunjukkan contoh akhlak baik.

Sebenarnya, sambil membawa anak membeli belah dan makan di warong, ibu dan bapa boleh mengambil kesempatan untuk memberi input ilmu kepada mereka. Banyak bahan pengajaran di persekitaran; contohnya mengenal warna, membaca, melihat tanda harga, mengira harga barangan setelah diskaun, mengajar jenis2 jenama dan lain-lain. Juga mengajar mereka nilai; seperti jimat cermat, makanan halal, melihat tarikh luput barangan, adab ketika beratur dan sebagainya.

Anak-anak yang dibimbing oleh ibu bapanya sebegini, akan mudah memahami pengajaran guru semasa di sekolah.

Moga-moga ada manafaat dari coretan ini, insya Allah...

Sunday, September 5, 2010

MENGAJAR ANAK MEMBUAT KEPUTUSAN SENDIRI

Salah satu kelemahan saya ialah susah untuk membuat keputusan. Oleh kerana itu, saya tidak mahu kelemahan ini diulangi oleh anak-anak saya.

Bagaimana mendidik mereka untuk membuat keputusan sendiri.

Kita perlu memberi peluang kepada mereka untuk membuat keputusan sendiri dalam keadaan tertentu. Ada jenis keputusan yang perlu diserahkan sepenuhnya kepada mereka. Walau bagaimanapun, pada peringkat awal, keputusan yang mereka buat, perlu diberi panduan oleh ibu atau bapa atau keduanya. Sebagai contoh, untuk memilih buku cerita, buku ulangkaji, warna baju dan seumpamanya.

Untuk tujuan mendidik, ibu bapa juga perlu bersyura dengan anak-anak tentang keputusan yang perlu dibuat oleh keluarga. Libatkan mereka dalam perbincangan. Contohnya; menentukan destinasi percutian keluarga, menentukan tarikh bercuti ke kampung....

Setelah umur mereka meningkat, mereka boleh terlibat dalam membuat keputusan yang lebih besar.

Segala panduan dan didikan yang ibu bapa berikan akan:

1. meningkatkan kemahiran membuat keputusan (decision making) mereka,
2. mereka dapat mengendalikan hidup masa depan mereka dengan lebih yakin
3. mengurus keluarga mereka sendiri dengan baik
4. merapatkan hubungan mereka dengan ibu bapa

Walau bagaimana pun, kita perlu juga mengambil tauladan kisah Asma' Abu Bakr, yang dirujuk oleh anaknya sebelum ke medan peperangan.

Biarlah mereka mampu membuat keputusan sendiri, di samping itu merujuk kepada kita sebagai menghormati dan mendapat restu....

Tuesday, June 15, 2010

BAGAIMANA KAMI MENDIDIK ANAK SIRI 4

9. Anak meniru untuk belajar

Suatu hari di tepi pantai semasa hari keluarga, aku melihat seorang anak berumur 3 tahun bermain dengan pasir. Mainannya tidak terarah; menabur pasir sana sini, terkena sesiapa yang ada di sekitarnya.

Melihat keadaan begitu, aku pun mula menarik perhatian anak ini. Aku mula cuba membina kota pasir. Anak ini melihat minat, dihampirinya kota pasir yang belum siap itu, dirosakkannya dan menghamburkan pasir lagi. Aku meneruskan binaan kota pasir itu. Beberapa kali anak itu merosakkan apa yang telah ku bina. Namun.... akhirnya aku perhatikan anak ini sudah mula cuba membina kota pasirnya sendiri. Malah anak-anak lain yang memerhatikan apa yang aku lakukan juga membina kota pasir mereka sendiri.

Memang anak belajar dengan meniru apa yang kita lakukan. Jadilah contoh yang terbaik untuk anak-anak kita...

Jangan biarkan anak-anak bermain tanpa bimbingan.

10. Membimbing anak secara berulang-ulang

Apabila kita mengajar anak tentang adab dan peraturan, seringkali kita dapati seolah-olah anak-anak kita tidak memperdulikan apa yang kita ajarkan. Ataupun seringkali kita dapati anak-anak mudah lupa apa yang kita ajarkan. Jangan putus asa, teruskan mengajar kerana berkat kesabaran kita, kita akan dapat lihat kesannya.

Hadith Nabi meminta kita menyuruh anak mengerjakan solat ketika umur tujuh tahun dan mula memaksanya apabila berumur 10 tahun. Kalau dikira dari segi bilangan kali solat dalam masa 3 tahun ialah 5475 kali.

11. Batas pergaulan anak lelaki dengan anak perempuan

Dari kecil lagi perlu diajar batas pergaulan ini, walaupun mereka adik beradik. Saya mengajar mereka berpakaian sopan walaupun di rumah ketika mencapai umur tertentu. Bagaimana adab pergaulan anak perempuan dengan bapanya juga perlu diberi perhatian, supaya dia dapat mengamalkan adab ini dengan orang-orang lain di luar rumah.

Umpamanya; ketika tidak boleh berpuasa ramadhan, tidak sopan makan di depan adik beradik lain terutama yang lelaki walaupun mereka telah faham situasi sedemikian.

Thursday, March 25, 2010

BAGAIMANA KAMI MENDIDIK ANAK SIRI 3

Bila berbual dengan beberapa orang ibu, mereka menyatakan telah melakukan kesilapan semasa membesarkan anak sulung. Kesilapan ibu atau bapa, ada kalanya memberi kesan kepada perkembangan anak-anak.

Semoga tulisan ini menjadi panduan kepada anak-anakku dan anak-anak saudaraku yang telah dan akan menjadi ibu atau bapa....


6. Anak fasih bercakap

Sejak kecil lagi, kita perlu / mesti mengajar anak bercakap bahasa yang betul; bukan bahasa pelat. Biar mereka sebut perkataan dengan betul. Biasakan bercakap berdepan dengan mereka, bukan membelakangi mereka sehingga mereka tidak dapat melihat pergerakan bibir kita sewaktu bercakap.

Apa yang telah saya lakukan kepada anak yang belum pandai menyebut dengan betul:
Anak : Mak, nak ghoti ngan cu.
Mak : Sebut betul-betul, tengok mulut mak cakap. Ikut mak cakap..
Anak memandang muka mak..
Mak : Mak, Usayd nak roti dengan susu (dengan sebutan perlahan-lahan satu persatu diikuti oleh anak)

Setelah dia dapat menyebut dengan betul, barulah, saya memberikan roti dengan susu pada Usayd.

Anak lelaki ni, perkembangan pertuturannya lambat sikit berbanding anak perempuan. Ibu dan bapa kena banyak bersabar dan membimbing mereka.

7. Anak kecil suka panjat tangga

Sebelum pandai merangkan dan berjalan, anak-anak biasanya suka panjat tangga. Ramai ibu (terutamanya) menjerit dan melarang anak naik tangga. Tak wajar kita buat begitu. Kita boleh biarkan dia naik tangga sambil kita kawal di belakangnya. Ini akan memberi keyakinan kepadanya, tidak penakut. Sambil tu kita boleh mula mengira anak tangga; satu, dua, tiga dan seterusnya, walaupun dia tidak faham kiraan lagi.

8. Anak yang berani

Kerap kali kita mendengar ibu atau bapa atau pembantu rumah dan lain-lain berkata , "Pergilah situ, ada hantu..."; " Hee takut... jangan pergi situ, gelap...."; "jangan nakal, nanti mama panggil polis" dan lain-lain lagi.

Apa kesan kepada anak? Anak menjadi takut, tidak pandai menerokai perkara baru dan mereka akan banyak bergantung kepada kita..

Bersambung.....

Sunday, March 21, 2010

BAGAIMANA KAMI MENDIDIK ANAK SIRI 2

Penulisan pengalaman ini saya lakarkan bukanlah bertujuan untuk mengajar, tapi sekadar berkongsi. Sekiranya ada manafaat, gunakanlah.


4. Anak tak mau baca buku

Anak saya yang lelaki ni susah sikit nak duduk tekun membaca buku. Hari peperiksaan untuk mata pelajaran sirah dah dekat. Sirah ni kena baca buku, kalau tak, tak ingat fakta. Suruh baca buku, dia asyik nak main. Jadi, saya pun merancang helah apa yang saya nak buat supaya dia baca buku.

Saya tanya tajuk mana yang akan disoal dalam peperiksaan. Kemudian, saya tengoklah buku teksnya secara umum. Kemudian, saya tanya dia fakta/cerita tentang tajuk berkenaan. Dia cerita satu persatu apa yang saya tanya. Bila tiba soalan yang dia tak dapat jawab, saya minta dia rujuk buku sirahnya dan dia pun mulalah membaca buku itu seterusnya....

Sebagai ibu, kita kena kreatif dan banyak akal.......

5. Memahami sifat anak untuk membantunya



Pada suatu hari, saya balik dari mesyuarat. Bila masuk ke rumah, saya dapati anak perempuan saya ni sedang menangis. Suami saya ada disisinya. Saya tanya suami, mengapa dia menangis. "Tak tau.." jawabnya. Lalu, saya pun ambil kertas kosong dan pen, saya letakkan depan anak saya yang menangis tu. Dengan linangan air mata, dia capai pen dan menulis sesuatu di atas kertas tersebut.... "Along belum hafal ayat Quran, esok muallimah nak soal....."

"Ooooo, abah dah hafal ayat tu, mai sini abah ajar..."

Alhamdulillah, selesai satu masalah.

Wednesday, March 10, 2010

BAGAIMANA KAMI MENDIDIK ANAK SIRI 1

Ramai yang bertanya kepada kami... Bagaimana mendidik anak jadi berani? Bagaimana nak bantu anak dalam pelajaran? Dan macam-macam lagi soalan berkaitan...

Saya ingin kongsi tips mendidik anak berdasarkan pengalaman kami (saya dan suami) dengan lima orang anak yang dah besar panjang. Ada yang boleh digunapakai oleh orang lain, dan mungkin ada yang tak sesuai. Setiap ibu dan bapa ada kaedah tersendiri mendidik anak.

Walau pun demikian, peranan mendidik anak ini bukan hanya perlu dimainkan oleh ibu. Bapa juga berperanan besar.

Saya akan tuliskan pengalaman mengikut situasi.

1. Pemilihan barang permainan untuk anak

a) Biasanya saya memilih barang permainan yang selamat dan ada unsur pendidikan kepada anak-anak.
b) Memilih barang permainan untuk anak yang melebihi umurnya. Contohnya, anak baru berumur 4 tahun, tapi saya belikan permainan untuk anak 6 tahun. Namun demikian, semasa anak menggunakannya, perlulah di bawah pemerhatian orang dewasa.
c) Jigsaw Puzzle baik untuk melatih anak-anak supaya bersabar dan teliti dalam membuat kerja

2. Pupuk minat membaca

a) Biasakan anak dengan buku sejak kecil lagi. Tidak mengapa buku koyak; apa yang kita akan dapat ialah anak minat membaca (jangka panjang)
b) Bina suasana membaca. Ibu dan bapa yang membaca. Bila anak sudah boleh di bawa ke perpustakaan, bawalah mereka ke sana

3. Minat menulis

a) Sediakan kemudahan untuk mereka menconteng; buku atau papan tulis
b) Dari contengan anak, ibu atau ayah boleh tambah untuk jadi gambar objek yang mereka minat. Ini akan menggalakkan mereka untuk menulis. (suami saya memang pakar bab ni)
c) Ibu atau bapa juga boleh melukis sambil diperhatikan oleh anak-anak. Mereka akan meniru perbuatan kita.

BERSAMBUNG.........

Thursday, January 7, 2010

IBU DAN BAPA GURU PERTAMA ANAK-ANAK

Tidak perlu disangkal lagi bahawa ibu dan bapa merupakan guru pertama bagi anak-anak. Dari dalam kandungan lagi, emosi ibu, persekitaran memberi kesan kepada anak. Seorang ibu yang stabil emosinya semasa mengandung biasanya mendapat anak yang mudah dijaga setelah lahir.

Setelah dilahirkan, persekitaran sepatutnya dibina supaya ia merangsang anak-anak untuk berkembang dengan baik dari segi emosinya, kognitifnya dan psikomotornya. Inilah tugas ibu dan bapa.

Pemilihan barang permainan anak hendaklah daripada bahan-bahan yang selamat dan dipilih barang permainan yang mempunyai unsur-unsur mendidik.

Pertuturan dengan anak sepatutnya menggunakan bahasa yang betul serta sebutan yang standard tidak mengikut pelat anak-anak. Makan disebut makan bukan mamam, susu bukan cucu dan lain-lain. Anak-anak yang dididik dan didedahkan dengan bahasa-bahasa yang baik akan dapat menguasai bahasa dengan baik. Cara berkomunikasi dengan anak, hendaklah seperti mana kita berkomunikasi dengan orang dewasa, walau pun usianya masih muda.

Bila anak sudah mula boleh bercakap, pastikan dia bercakap dengan bahasa yang betul. Bila bercakap dengan anak, biarlah dia dapat melihat pergerakan bibir kita. Ini membantu mereka menyebut perkataan dengan betul.

Persekitaran pembelajaran yang baik, santai dan tidak memberi tekanan akan menjadikan anak seronok belajar.

Dengan itu, jadilah guru pertama kepada anak-anak kita supaya dia akan lebih bersedia apabila memasukki alam persekolahan.