Thursday, March 25, 2010

BAGAIMANA KAMI MENDIDIK ANAK SIRI 3

Bila berbual dengan beberapa orang ibu, mereka menyatakan telah melakukan kesilapan semasa membesarkan anak sulung. Kesilapan ibu atau bapa, ada kalanya memberi kesan kepada perkembangan anak-anak.

Semoga tulisan ini menjadi panduan kepada anak-anakku dan anak-anak saudaraku yang telah dan akan menjadi ibu atau bapa....


6. Anak fasih bercakap

Sejak kecil lagi, kita perlu / mesti mengajar anak bercakap bahasa yang betul; bukan bahasa pelat. Biar mereka sebut perkataan dengan betul. Biasakan bercakap berdepan dengan mereka, bukan membelakangi mereka sehingga mereka tidak dapat melihat pergerakan bibir kita sewaktu bercakap.

Apa yang telah saya lakukan kepada anak yang belum pandai menyebut dengan betul:
Anak : Mak, nak ghoti ngan cu.
Mak : Sebut betul-betul, tengok mulut mak cakap. Ikut mak cakap..
Anak memandang muka mak..
Mak : Mak, Usayd nak roti dengan susu (dengan sebutan perlahan-lahan satu persatu diikuti oleh anak)

Setelah dia dapat menyebut dengan betul, barulah, saya memberikan roti dengan susu pada Usayd.

Anak lelaki ni, perkembangan pertuturannya lambat sikit berbanding anak perempuan. Ibu dan bapa kena banyak bersabar dan membimbing mereka.

7. Anak kecil suka panjat tangga

Sebelum pandai merangkan dan berjalan, anak-anak biasanya suka panjat tangga. Ramai ibu (terutamanya) menjerit dan melarang anak naik tangga. Tak wajar kita buat begitu. Kita boleh biarkan dia naik tangga sambil kita kawal di belakangnya. Ini akan memberi keyakinan kepadanya, tidak penakut. Sambil tu kita boleh mula mengira anak tangga; satu, dua, tiga dan seterusnya, walaupun dia tidak faham kiraan lagi.

8. Anak yang berani

Kerap kali kita mendengar ibu atau bapa atau pembantu rumah dan lain-lain berkata , "Pergilah situ, ada hantu..."; " Hee takut... jangan pergi situ, gelap...."; "jangan nakal, nanti mama panggil polis" dan lain-lain lagi.

Apa kesan kepada anak? Anak menjadi takut, tidak pandai menerokai perkara baru dan mereka akan banyak bergantung kepada kita..

Bersambung.....

No comments: