Tuesday, June 15, 2010

BAGAIMANA KAMI MENDIDIK ANAK SIRI 4

9. Anak meniru untuk belajar

Suatu hari di tepi pantai semasa hari keluarga, aku melihat seorang anak berumur 3 tahun bermain dengan pasir. Mainannya tidak terarah; menabur pasir sana sini, terkena sesiapa yang ada di sekitarnya.

Melihat keadaan begitu, aku pun mula menarik perhatian anak ini. Aku mula cuba membina kota pasir. Anak ini melihat minat, dihampirinya kota pasir yang belum siap itu, dirosakkannya dan menghamburkan pasir lagi. Aku meneruskan binaan kota pasir itu. Beberapa kali anak itu merosakkan apa yang telah ku bina. Namun.... akhirnya aku perhatikan anak ini sudah mula cuba membina kota pasirnya sendiri. Malah anak-anak lain yang memerhatikan apa yang aku lakukan juga membina kota pasir mereka sendiri.

Memang anak belajar dengan meniru apa yang kita lakukan. Jadilah contoh yang terbaik untuk anak-anak kita...

Jangan biarkan anak-anak bermain tanpa bimbingan.

10. Membimbing anak secara berulang-ulang

Apabila kita mengajar anak tentang adab dan peraturan, seringkali kita dapati seolah-olah anak-anak kita tidak memperdulikan apa yang kita ajarkan. Ataupun seringkali kita dapati anak-anak mudah lupa apa yang kita ajarkan. Jangan putus asa, teruskan mengajar kerana berkat kesabaran kita, kita akan dapat lihat kesannya.

Hadith Nabi meminta kita menyuruh anak mengerjakan solat ketika umur tujuh tahun dan mula memaksanya apabila berumur 10 tahun. Kalau dikira dari segi bilangan kali solat dalam masa 3 tahun ialah 5475 kali.

11. Batas pergaulan anak lelaki dengan anak perempuan

Dari kecil lagi perlu diajar batas pergaulan ini, walaupun mereka adik beradik. Saya mengajar mereka berpakaian sopan walaupun di rumah ketika mencapai umur tertentu. Bagaimana adab pergaulan anak perempuan dengan bapanya juga perlu diberi perhatian, supaya dia dapat mengamalkan adab ini dengan orang-orang lain di luar rumah.

Umpamanya; ketika tidak boleh berpuasa ramadhan, tidak sopan makan di depan adik beradik lain terutama yang lelaki walaupun mereka telah faham situasi sedemikian.

No comments: