Wednesday, March 10, 2010

BAGAIMANA KAMI MENDIDIK ANAK SIRI 1

Ramai yang bertanya kepada kami... Bagaimana mendidik anak jadi berani? Bagaimana nak bantu anak dalam pelajaran? Dan macam-macam lagi soalan berkaitan...

Saya ingin kongsi tips mendidik anak berdasarkan pengalaman kami (saya dan suami) dengan lima orang anak yang dah besar panjang. Ada yang boleh digunapakai oleh orang lain, dan mungkin ada yang tak sesuai. Setiap ibu dan bapa ada kaedah tersendiri mendidik anak.

Walau pun demikian, peranan mendidik anak ini bukan hanya perlu dimainkan oleh ibu. Bapa juga berperanan besar.

Saya akan tuliskan pengalaman mengikut situasi.

1. Pemilihan barang permainan untuk anak

a) Biasanya saya memilih barang permainan yang selamat dan ada unsur pendidikan kepada anak-anak.
b) Memilih barang permainan untuk anak yang melebihi umurnya. Contohnya, anak baru berumur 4 tahun, tapi saya belikan permainan untuk anak 6 tahun. Namun demikian, semasa anak menggunakannya, perlulah di bawah pemerhatian orang dewasa.
c) Jigsaw Puzzle baik untuk melatih anak-anak supaya bersabar dan teliti dalam membuat kerja

2. Pupuk minat membaca

a) Biasakan anak dengan buku sejak kecil lagi. Tidak mengapa buku koyak; apa yang kita akan dapat ialah anak minat membaca (jangka panjang)
b) Bina suasana membaca. Ibu dan bapa yang membaca. Bila anak sudah boleh di bawa ke perpustakaan, bawalah mereka ke sana

3. Minat menulis

a) Sediakan kemudahan untuk mereka menconteng; buku atau papan tulis
b) Dari contengan anak, ibu atau ayah boleh tambah untuk jadi gambar objek yang mereka minat. Ini akan menggalakkan mereka untuk menulis. (suami saya memang pakar bab ni)
c) Ibu atau bapa juga boleh melukis sambil diperhatikan oleh anak-anak. Mereka akan meniru perbuatan kita.

BERSAMBUNG.........

No comments: