Teringat kepada arwah bapa, setiap kali selesai makan nasi di rumah, pastinya dia akan membawa pinggan yang digunakan ke dapur, dibasuhnya dan diletakkan ditempat pinggan bersih. Tak pun disuruhnya anak-anak ikut apa yang dia lakukan.
Disamping itu, dia juga banyak membantu kerja-kerja rumah; menyapu sampah, bantu basuh kain, membersihkan sawang dan lain-lain. Dalam bulan Ramadhan, dia akan bangun awal waktu sahur, masak air dan menanak nasi. Selepas itu, barulah dia akan mengejutkan mak dan kami adik beradik.
Bila saya perhatikan, Alhamdulillah adik-adik lelaki saya sedikit sebanyak mengikuti tabiat baik bapa saya. Sesuailah dengan peribahasa, bapa borek anak rintik.
Berpandukan kisah di atas, dapat dilihat peranan bapa dalam pendidikan anak-anak, dalam membentuk akhlak dan tingkah laku anak-anak. Peranan mendidik anak-anak adalah peranan bersama ibu dan bapa; tidak hanya diserahkan kepada ibu sahaja.
Sifat minat membaca, sifat dan gaya kepimpinan, cara anak berurusan dengan orang dewasa dan dengan kawan-kawan juga dikutip dari contoh tauladan yang ditunjukkan oleh bapa (dan ibu) serta dari guru-guru mereka.
Daripada pemerhatian saya, ada beberapa tabiat kami yang juga dikutip oleh anak-anak kami.
Ada kalanya, tidak perlu si bapa atau si ibu bercakap banyak, anak-anak akan meniru perbuatan orang dewasa. Oleh yang demikian, untuk menjadikan anak-anak kita cemerlang, kita sendiri perlu cemerlang.
Semoga ada kebaikan yang dapat dikutip dari coretan ini.
No comments:
Post a Comment