Thursday, March 25, 2010

BAGAIMANA KAMI MENDIDIK ANAK SIRI 3

Bila berbual dengan beberapa orang ibu, mereka menyatakan telah melakukan kesilapan semasa membesarkan anak sulung. Kesilapan ibu atau bapa, ada kalanya memberi kesan kepada perkembangan anak-anak.

Semoga tulisan ini menjadi panduan kepada anak-anakku dan anak-anak saudaraku yang telah dan akan menjadi ibu atau bapa....


6. Anak fasih bercakap

Sejak kecil lagi, kita perlu / mesti mengajar anak bercakap bahasa yang betul; bukan bahasa pelat. Biar mereka sebut perkataan dengan betul. Biasakan bercakap berdepan dengan mereka, bukan membelakangi mereka sehingga mereka tidak dapat melihat pergerakan bibir kita sewaktu bercakap.

Apa yang telah saya lakukan kepada anak yang belum pandai menyebut dengan betul:
Anak : Mak, nak ghoti ngan cu.
Mak : Sebut betul-betul, tengok mulut mak cakap. Ikut mak cakap..
Anak memandang muka mak..
Mak : Mak, Usayd nak roti dengan susu (dengan sebutan perlahan-lahan satu persatu diikuti oleh anak)

Setelah dia dapat menyebut dengan betul, barulah, saya memberikan roti dengan susu pada Usayd.

Anak lelaki ni, perkembangan pertuturannya lambat sikit berbanding anak perempuan. Ibu dan bapa kena banyak bersabar dan membimbing mereka.

7. Anak kecil suka panjat tangga

Sebelum pandai merangkan dan berjalan, anak-anak biasanya suka panjat tangga. Ramai ibu (terutamanya) menjerit dan melarang anak naik tangga. Tak wajar kita buat begitu. Kita boleh biarkan dia naik tangga sambil kita kawal di belakangnya. Ini akan memberi keyakinan kepadanya, tidak penakut. Sambil tu kita boleh mula mengira anak tangga; satu, dua, tiga dan seterusnya, walaupun dia tidak faham kiraan lagi.

8. Anak yang berani

Kerap kali kita mendengar ibu atau bapa atau pembantu rumah dan lain-lain berkata , "Pergilah situ, ada hantu..."; " Hee takut... jangan pergi situ, gelap...."; "jangan nakal, nanti mama panggil polis" dan lain-lain lagi.

Apa kesan kepada anak? Anak menjadi takut, tidak pandai menerokai perkara baru dan mereka akan banyak bergantung kepada kita..

Bersambung.....

Sunday, March 21, 2010

BAGAIMANA KAMI MENDIDIK ANAK SIRI 2

Penulisan pengalaman ini saya lakarkan bukanlah bertujuan untuk mengajar, tapi sekadar berkongsi. Sekiranya ada manafaat, gunakanlah.


4. Anak tak mau baca buku

Anak saya yang lelaki ni susah sikit nak duduk tekun membaca buku. Hari peperiksaan untuk mata pelajaran sirah dah dekat. Sirah ni kena baca buku, kalau tak, tak ingat fakta. Suruh baca buku, dia asyik nak main. Jadi, saya pun merancang helah apa yang saya nak buat supaya dia baca buku.

Saya tanya tajuk mana yang akan disoal dalam peperiksaan. Kemudian, saya tengoklah buku teksnya secara umum. Kemudian, saya tanya dia fakta/cerita tentang tajuk berkenaan. Dia cerita satu persatu apa yang saya tanya. Bila tiba soalan yang dia tak dapat jawab, saya minta dia rujuk buku sirahnya dan dia pun mulalah membaca buku itu seterusnya....

Sebagai ibu, kita kena kreatif dan banyak akal.......

5. Memahami sifat anak untuk membantunya



Pada suatu hari, saya balik dari mesyuarat. Bila masuk ke rumah, saya dapati anak perempuan saya ni sedang menangis. Suami saya ada disisinya. Saya tanya suami, mengapa dia menangis. "Tak tau.." jawabnya. Lalu, saya pun ambil kertas kosong dan pen, saya letakkan depan anak saya yang menangis tu. Dengan linangan air mata, dia capai pen dan menulis sesuatu di atas kertas tersebut.... "Along belum hafal ayat Quran, esok muallimah nak soal....."

"Ooooo, abah dah hafal ayat tu, mai sini abah ajar..."

Alhamdulillah, selesai satu masalah.

Wednesday, March 10, 2010

BAGAIMANA KAMI MENDIDIK ANAK SIRI 1

Ramai yang bertanya kepada kami... Bagaimana mendidik anak jadi berani? Bagaimana nak bantu anak dalam pelajaran? Dan macam-macam lagi soalan berkaitan...

Saya ingin kongsi tips mendidik anak berdasarkan pengalaman kami (saya dan suami) dengan lima orang anak yang dah besar panjang. Ada yang boleh digunapakai oleh orang lain, dan mungkin ada yang tak sesuai. Setiap ibu dan bapa ada kaedah tersendiri mendidik anak.

Walau pun demikian, peranan mendidik anak ini bukan hanya perlu dimainkan oleh ibu. Bapa juga berperanan besar.

Saya akan tuliskan pengalaman mengikut situasi.

1. Pemilihan barang permainan untuk anak

a) Biasanya saya memilih barang permainan yang selamat dan ada unsur pendidikan kepada anak-anak.
b) Memilih barang permainan untuk anak yang melebihi umurnya. Contohnya, anak baru berumur 4 tahun, tapi saya belikan permainan untuk anak 6 tahun. Namun demikian, semasa anak menggunakannya, perlulah di bawah pemerhatian orang dewasa.
c) Jigsaw Puzzle baik untuk melatih anak-anak supaya bersabar dan teliti dalam membuat kerja

2. Pupuk minat membaca

a) Biasakan anak dengan buku sejak kecil lagi. Tidak mengapa buku koyak; apa yang kita akan dapat ialah anak minat membaca (jangka panjang)
b) Bina suasana membaca. Ibu dan bapa yang membaca. Bila anak sudah boleh di bawa ke perpustakaan, bawalah mereka ke sana

3. Minat menulis

a) Sediakan kemudahan untuk mereka menconteng; buku atau papan tulis
b) Dari contengan anak, ibu atau ayah boleh tambah untuk jadi gambar objek yang mereka minat. Ini akan menggalakkan mereka untuk menulis. (suami saya memang pakar bab ni)
c) Ibu atau bapa juga boleh melukis sambil diperhatikan oleh anak-anak. Mereka akan meniru perbuatan kita.

BERSAMBUNG.........

Thursday, January 7, 2010

IBU DAN BAPA GURU PERTAMA ANAK-ANAK

Tidak perlu disangkal lagi bahawa ibu dan bapa merupakan guru pertama bagi anak-anak. Dari dalam kandungan lagi, emosi ibu, persekitaran memberi kesan kepada anak. Seorang ibu yang stabil emosinya semasa mengandung biasanya mendapat anak yang mudah dijaga setelah lahir.

Setelah dilahirkan, persekitaran sepatutnya dibina supaya ia merangsang anak-anak untuk berkembang dengan baik dari segi emosinya, kognitifnya dan psikomotornya. Inilah tugas ibu dan bapa.

Pemilihan barang permainan anak hendaklah daripada bahan-bahan yang selamat dan dipilih barang permainan yang mempunyai unsur-unsur mendidik.

Pertuturan dengan anak sepatutnya menggunakan bahasa yang betul serta sebutan yang standard tidak mengikut pelat anak-anak. Makan disebut makan bukan mamam, susu bukan cucu dan lain-lain. Anak-anak yang dididik dan didedahkan dengan bahasa-bahasa yang baik akan dapat menguasai bahasa dengan baik. Cara berkomunikasi dengan anak, hendaklah seperti mana kita berkomunikasi dengan orang dewasa, walau pun usianya masih muda.

Bila anak sudah mula boleh bercakap, pastikan dia bercakap dengan bahasa yang betul. Bila bercakap dengan anak, biarlah dia dapat melihat pergerakan bibir kita. Ini membantu mereka menyebut perkataan dengan betul.

Persekitaran pembelajaran yang baik, santai dan tidak memberi tekanan akan menjadikan anak seronok belajar.

Dengan itu, jadilah guru pertama kepada anak-anak kita supaya dia akan lebih bersedia apabila memasukki alam persekolahan.

Thursday, October 15, 2009

BACALAH ANAKKU........



Mengajar anak membaca?
Bila nak mula?
Tak awal sangat ker?
Nanti ajar anak awal sangat, dia jemu..

Apa-apa pun, pendidikan awal anak-anak sangatlah penting. Apa yang dipelajari oleh anak semasa kecil itu selalu yang diingatnya sampai dewasa. Maklumat dari KPM ramai kanak-kanak yang masih belum menguasai kemahiran 3M (Membaca, Menulis, Mengira) walaupun dah berada dalam Tahun 6. Kesian mereka kan?

Nak salahkan siapa? Tak perlu salahkan siapa. Semua orang mesti mainkan peranan masing-masing. Ibu dan bapa adalah sekolah pertama anak. Glenn Dorman telah buktikan anak yang terencat perkembangan otaknya boleh membaca pada umur 3 tahun. Mengapa pula anak normal tidak boleh....


Sebelum mereka boleh membaca, langkah pertama ialah sediakan suasana /persekitaran yang menggalakkan anak membaca. Kalau ibu ayah membaca, anak-anak akan menirunya. Sinilah mulanya.... Lepas tu sediakanlah buku (murah) untuk dia juga. Tidak mengapa kalau buku dikoyaknya... kalau akhirnya kita dapat anak yang suka membaca, jauh lebih mahal dari harga buku murah tu..... (betul tak?)



Jadi, mulakan langkah, ajarlah anak anda membaca pada umur awal...... Membaca adalah sumber ilmu.







Thursday, August 27, 2009

PEMBANGUNAN MODAL INSAN DALAM KELUARGA

Keluarga merupakan unit terkecil dalam masyarakat. Unit-unit keluarga dalam satu taman perumahan, kampung atau qariah membentuk satu kelompok komuniti. Komuniti ini akan menjadi komuniti yang baik, sihat dan sejahtera sekiranya unit-unit keluarga di dalamnya terdiri dari unsur-unsur yang sihat dan baik.


Bertolak dari pernyataan ini, unit-unit keluarga sewajarnya menjadi tempat pembangunan manusia yang paling penting. Pembangunan negara bermula dengan pembangunan keluarga.


Siapakah yang perlu memainkan peranan utama dalam membangunkan manusia ini? Tentulah ibu dan bapa seperti kata hadis, anak itu lahir seumpama kain putih, ibu dan bapanyalah yang akan mencorakkannya.


Bagaimana pembangunan manusia boleh dimulakan dalam unit-unit keluarga? Ianya semestinya bermula dengan pemilihan bakal ibu dan bapa yang berkualiti. Orang yang tidak mempunyai apa-apa tidak dapat memberikan apa-apa...... Sekiranya telah jadi ibu dan bapa pula, perlulah lengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran keibubapaan. Tersalah didik anak akan memberi kesan jangka panjang kepada mereka.


Seringkali juga kita melihat, sesebuah keluarga menyerahkan hal-hal pendidikan anak-anak kepada si ibu. Sebenarnya peranan bapa sangatlah penting dan besar dalam membentuk anak yang seimbang. Anak-anak yang dibesarkan tanpa didikan dan perhatian bapa tidak dapat dibangunkan sebagai insan yang seimbang.




Pendidikan anak-anak yang seimbang memerlukan ibu dan bapa yang berperanan; seterusnya membina insan yang seimbang, soleh wa musleh, berketrampilan dan akan menjadi unsur-unsur "sihat" dalam masyarakat.

Thursday, August 20, 2009

LATIH ANAK BERPUASA

Seringkali, ketika Ramadhan, ibu-ibu akan berbincang kaedah melatih anak-anak berpuasa.

Perlukah kita mulakan sewaktu anak masih kecil? Umur berapa tahun kita sepatutnya mula melatih mereka berpuasa?

Kaedah yang saya gunakan ialah melatih anak mengikut kemampuan dan kehendaknya, tidak memaksa.. Disamping itu, mereka perlu motivasi dan kata-kata semangat dari ibu bapa.

Anak-anak yang bersekolah di sekolah islam, tidak menghadapi cabaran sehebat anak-anak di sekolah biasa yang bercampur dengan kawan-kawan bukan islam. Di sekolah islam, kebanyakan murid berpuasa. Yang tak berpuasa akan makan secara sembunyi...

Waktu sahur

Ibu bapa mesti kreatif mengejutkan anak untuk bangun sahur. Saya bertanya Maimanah, apa yang dia ingat tentang cara kami melatihnya berpuasa. Katanya: "Emak berbisik bagi tau mak masak nugget untuk sahur. tp time sahur mak soh mkn byk2.minum.mkn vtamin!" Ini adalah untuk menggalakkan anak bangun sahur.. Sebenarnya ada makanan lain lagi disediakan....

Katanya lagi, "Petang2 rengek nak buka puasa, mak kata,bkak la.mak bg rm10.tp xbkak pn..sayang.hehe" Ini menunjukkan si anak dah tahu sayangkan puasanya.

Ini pula apa yang dicoretkan oleh along Nazihah:

seingat along, darjah 3 baru full puasa
tapi mak takde marah kalau nak buka puasa
u encourage
harini separuh
esok tambah lagi, pukul 2 ke
esoknya tambah sejam lagi
but i didn't remember any monetary reward
pagi bangun sahur

i remember u telling us masa tu usayd nak exam sirah, perang badar masa puasa tau
time tu usayd terlepek..

Walau bagaimana cara kita melatih anak berpuasa, apa yang penting adalah mereka dapat menghayati puasa itu sebagai ibadah yang membina sifat ikhlas dan berintegriti dalam diri mereka.

Bulan puasa bukan masa untuk membazir makanan. Sentiasa latih anak-anak untuk berbuka puasa dalam keadaan sederhana.

Mudah-mudahan anak-anak kita dapat dilatih berpuasa dalam erti kata sebenarnya, Insya Allah