Thursday, March 25, 2010

BAGAIMANA KAMI MENDIDIK ANAK SIRI 3

Bila berbual dengan beberapa orang ibu, mereka menyatakan telah melakukan kesilapan semasa membesarkan anak sulung. Kesilapan ibu atau bapa, ada kalanya memberi kesan kepada perkembangan anak-anak.

Semoga tulisan ini menjadi panduan kepada anak-anakku dan anak-anak saudaraku yang telah dan akan menjadi ibu atau bapa....


6. Anak fasih bercakap

Sejak kecil lagi, kita perlu / mesti mengajar anak bercakap bahasa yang betul; bukan bahasa pelat. Biar mereka sebut perkataan dengan betul. Biasakan bercakap berdepan dengan mereka, bukan membelakangi mereka sehingga mereka tidak dapat melihat pergerakan bibir kita sewaktu bercakap.

Apa yang telah saya lakukan kepada anak yang belum pandai menyebut dengan betul:
Anak : Mak, nak ghoti ngan cu.
Mak : Sebut betul-betul, tengok mulut mak cakap. Ikut mak cakap..
Anak memandang muka mak..
Mak : Mak, Usayd nak roti dengan susu (dengan sebutan perlahan-lahan satu persatu diikuti oleh anak)

Setelah dia dapat menyebut dengan betul, barulah, saya memberikan roti dengan susu pada Usayd.

Anak lelaki ni, perkembangan pertuturannya lambat sikit berbanding anak perempuan. Ibu dan bapa kena banyak bersabar dan membimbing mereka.

7. Anak kecil suka panjat tangga

Sebelum pandai merangkan dan berjalan, anak-anak biasanya suka panjat tangga. Ramai ibu (terutamanya) menjerit dan melarang anak naik tangga. Tak wajar kita buat begitu. Kita boleh biarkan dia naik tangga sambil kita kawal di belakangnya. Ini akan memberi keyakinan kepadanya, tidak penakut. Sambil tu kita boleh mula mengira anak tangga; satu, dua, tiga dan seterusnya, walaupun dia tidak faham kiraan lagi.

8. Anak yang berani

Kerap kali kita mendengar ibu atau bapa atau pembantu rumah dan lain-lain berkata , "Pergilah situ, ada hantu..."; " Hee takut... jangan pergi situ, gelap...."; "jangan nakal, nanti mama panggil polis" dan lain-lain lagi.

Apa kesan kepada anak? Anak menjadi takut, tidak pandai menerokai perkara baru dan mereka akan banyak bergantung kepada kita..

Bersambung.....

Sunday, March 21, 2010

BAGAIMANA KAMI MENDIDIK ANAK SIRI 2

Penulisan pengalaman ini saya lakarkan bukanlah bertujuan untuk mengajar, tapi sekadar berkongsi. Sekiranya ada manafaat, gunakanlah.


4. Anak tak mau baca buku

Anak saya yang lelaki ni susah sikit nak duduk tekun membaca buku. Hari peperiksaan untuk mata pelajaran sirah dah dekat. Sirah ni kena baca buku, kalau tak, tak ingat fakta. Suruh baca buku, dia asyik nak main. Jadi, saya pun merancang helah apa yang saya nak buat supaya dia baca buku.

Saya tanya tajuk mana yang akan disoal dalam peperiksaan. Kemudian, saya tengoklah buku teksnya secara umum. Kemudian, saya tanya dia fakta/cerita tentang tajuk berkenaan. Dia cerita satu persatu apa yang saya tanya. Bila tiba soalan yang dia tak dapat jawab, saya minta dia rujuk buku sirahnya dan dia pun mulalah membaca buku itu seterusnya....

Sebagai ibu, kita kena kreatif dan banyak akal.......

5. Memahami sifat anak untuk membantunya



Pada suatu hari, saya balik dari mesyuarat. Bila masuk ke rumah, saya dapati anak perempuan saya ni sedang menangis. Suami saya ada disisinya. Saya tanya suami, mengapa dia menangis. "Tak tau.." jawabnya. Lalu, saya pun ambil kertas kosong dan pen, saya letakkan depan anak saya yang menangis tu. Dengan linangan air mata, dia capai pen dan menulis sesuatu di atas kertas tersebut.... "Along belum hafal ayat Quran, esok muallimah nak soal....."

"Ooooo, abah dah hafal ayat tu, mai sini abah ajar..."

Alhamdulillah, selesai satu masalah.

Wednesday, March 10, 2010

BAGAIMANA KAMI MENDIDIK ANAK SIRI 1

Ramai yang bertanya kepada kami... Bagaimana mendidik anak jadi berani? Bagaimana nak bantu anak dalam pelajaran? Dan macam-macam lagi soalan berkaitan...

Saya ingin kongsi tips mendidik anak berdasarkan pengalaman kami (saya dan suami) dengan lima orang anak yang dah besar panjang. Ada yang boleh digunapakai oleh orang lain, dan mungkin ada yang tak sesuai. Setiap ibu dan bapa ada kaedah tersendiri mendidik anak.

Walau pun demikian, peranan mendidik anak ini bukan hanya perlu dimainkan oleh ibu. Bapa juga berperanan besar.

Saya akan tuliskan pengalaman mengikut situasi.

1. Pemilihan barang permainan untuk anak

a) Biasanya saya memilih barang permainan yang selamat dan ada unsur pendidikan kepada anak-anak.
b) Memilih barang permainan untuk anak yang melebihi umurnya. Contohnya, anak baru berumur 4 tahun, tapi saya belikan permainan untuk anak 6 tahun. Namun demikian, semasa anak menggunakannya, perlulah di bawah pemerhatian orang dewasa.
c) Jigsaw Puzzle baik untuk melatih anak-anak supaya bersabar dan teliti dalam membuat kerja

2. Pupuk minat membaca

a) Biasakan anak dengan buku sejak kecil lagi. Tidak mengapa buku koyak; apa yang kita akan dapat ialah anak minat membaca (jangka panjang)
b) Bina suasana membaca. Ibu dan bapa yang membaca. Bila anak sudah boleh di bawa ke perpustakaan, bawalah mereka ke sana

3. Minat menulis

a) Sediakan kemudahan untuk mereka menconteng; buku atau papan tulis
b) Dari contengan anak, ibu atau ayah boleh tambah untuk jadi gambar objek yang mereka minat. Ini akan menggalakkan mereka untuk menulis. (suami saya memang pakar bab ni)
c) Ibu atau bapa juga boleh melukis sambil diperhatikan oleh anak-anak. Mereka akan meniru perbuatan kita.

BERSAMBUNG.........