Thursday, March 3, 2011

DAYA SAING DAN DAYA JUANG

Mendidik anak dan memupuk sifat-sifat mulia adalah suatu yang wajib bagi ibu dan bapa. Namun demikian, berapa ramai anak-anak kita yang bijak, berakhlak mulia tetapi tidak mempunyai daya saing dan daya juang yang tinggi.

Pernah saya mendapat maklumat seorang pelajar tingkatan 6 (dulunya) yang pintar dan baik, lari dari penginapan di universiti kerana tidak tahan di ragging. Beberapa contoh lain, anak yang tidak sanggup menempuh sedikit kesukaran belajar Matematik Tambahan mohon bertukar aliran, anak yang tewas dengan dugaan dunia menjadi anak yang rosak akhlaq (na'uzubillah).

Pembentukan peribadi, pembinaan daya saing dan daya juang anak-anak ini adalah tanggungjawab ibu dan bapa. Biah (suasana) rumahtangga yang merupakan persekitaran awal bagi anak-anak perlu menjurus ke arah meningkatkan daya juang/saing mereka. Dari kecil lagi, anak-anak boleh dilatih untuk berdaya juang/saing. Melatih mereka untuk menyelesai sesuatu task. Anak kecil yang baru belajar merangkak diminta untuk mengambil bola yang tergolek ke bawah meja tanpa bantuan. Setelah dia berjaya, berikan pujian. Saya suka memberikah tali atau benang yang kusut kepada anak untuk dirongkaikan tujuan melatihnya bersabar, tekun dan membuatnya sampai selesai.

Beberapa masalah harian seboleh mungkin, biarkan mereka selesaikan. Ibu dan bapa hanya memberi panduan.

No comments: