Thursday, October 15, 2009

BACALAH ANAKKU........



Mengajar anak membaca?
Bila nak mula?
Tak awal sangat ker?
Nanti ajar anak awal sangat, dia jemu..

Apa-apa pun, pendidikan awal anak-anak sangatlah penting. Apa yang dipelajari oleh anak semasa kecil itu selalu yang diingatnya sampai dewasa. Maklumat dari KPM ramai kanak-kanak yang masih belum menguasai kemahiran 3M (Membaca, Menulis, Mengira) walaupun dah berada dalam Tahun 6. Kesian mereka kan?

Nak salahkan siapa? Tak perlu salahkan siapa. Semua orang mesti mainkan peranan masing-masing. Ibu dan bapa adalah sekolah pertama anak. Glenn Dorman telah buktikan anak yang terencat perkembangan otaknya boleh membaca pada umur 3 tahun. Mengapa pula anak normal tidak boleh....


Sebelum mereka boleh membaca, langkah pertama ialah sediakan suasana /persekitaran yang menggalakkan anak membaca. Kalau ibu ayah membaca, anak-anak akan menirunya. Sinilah mulanya.... Lepas tu sediakanlah buku (murah) untuk dia juga. Tidak mengapa kalau buku dikoyaknya... kalau akhirnya kita dapat anak yang suka membaca, jauh lebih mahal dari harga buku murah tu..... (betul tak?)



Jadi, mulakan langkah, ajarlah anak anda membaca pada umur awal...... Membaca adalah sumber ilmu.







Thursday, August 27, 2009

PEMBANGUNAN MODAL INSAN DALAM KELUARGA

Keluarga merupakan unit terkecil dalam masyarakat. Unit-unit keluarga dalam satu taman perumahan, kampung atau qariah membentuk satu kelompok komuniti. Komuniti ini akan menjadi komuniti yang baik, sihat dan sejahtera sekiranya unit-unit keluarga di dalamnya terdiri dari unsur-unsur yang sihat dan baik.


Bertolak dari pernyataan ini, unit-unit keluarga sewajarnya menjadi tempat pembangunan manusia yang paling penting. Pembangunan negara bermula dengan pembangunan keluarga.


Siapakah yang perlu memainkan peranan utama dalam membangunkan manusia ini? Tentulah ibu dan bapa seperti kata hadis, anak itu lahir seumpama kain putih, ibu dan bapanyalah yang akan mencorakkannya.


Bagaimana pembangunan manusia boleh dimulakan dalam unit-unit keluarga? Ianya semestinya bermula dengan pemilihan bakal ibu dan bapa yang berkualiti. Orang yang tidak mempunyai apa-apa tidak dapat memberikan apa-apa...... Sekiranya telah jadi ibu dan bapa pula, perlulah lengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran keibubapaan. Tersalah didik anak akan memberi kesan jangka panjang kepada mereka.


Seringkali juga kita melihat, sesebuah keluarga menyerahkan hal-hal pendidikan anak-anak kepada si ibu. Sebenarnya peranan bapa sangatlah penting dan besar dalam membentuk anak yang seimbang. Anak-anak yang dibesarkan tanpa didikan dan perhatian bapa tidak dapat dibangunkan sebagai insan yang seimbang.




Pendidikan anak-anak yang seimbang memerlukan ibu dan bapa yang berperanan; seterusnya membina insan yang seimbang, soleh wa musleh, berketrampilan dan akan menjadi unsur-unsur "sihat" dalam masyarakat.

Thursday, August 20, 2009

LATIH ANAK BERPUASA

Seringkali, ketika Ramadhan, ibu-ibu akan berbincang kaedah melatih anak-anak berpuasa.

Perlukah kita mulakan sewaktu anak masih kecil? Umur berapa tahun kita sepatutnya mula melatih mereka berpuasa?

Kaedah yang saya gunakan ialah melatih anak mengikut kemampuan dan kehendaknya, tidak memaksa.. Disamping itu, mereka perlu motivasi dan kata-kata semangat dari ibu bapa.

Anak-anak yang bersekolah di sekolah islam, tidak menghadapi cabaran sehebat anak-anak di sekolah biasa yang bercampur dengan kawan-kawan bukan islam. Di sekolah islam, kebanyakan murid berpuasa. Yang tak berpuasa akan makan secara sembunyi...

Waktu sahur

Ibu bapa mesti kreatif mengejutkan anak untuk bangun sahur. Saya bertanya Maimanah, apa yang dia ingat tentang cara kami melatihnya berpuasa. Katanya: "Emak berbisik bagi tau mak masak nugget untuk sahur. tp time sahur mak soh mkn byk2.minum.mkn vtamin!" Ini adalah untuk menggalakkan anak bangun sahur.. Sebenarnya ada makanan lain lagi disediakan....

Katanya lagi, "Petang2 rengek nak buka puasa, mak kata,bkak la.mak bg rm10.tp xbkak pn..sayang.hehe" Ini menunjukkan si anak dah tahu sayangkan puasanya.

Ini pula apa yang dicoretkan oleh along Nazihah:

seingat along, darjah 3 baru full puasa
tapi mak takde marah kalau nak buka puasa
u encourage
harini separuh
esok tambah lagi, pukul 2 ke
esoknya tambah sejam lagi
but i didn't remember any monetary reward
pagi bangun sahur

i remember u telling us masa tu usayd nak exam sirah, perang badar masa puasa tau
time tu usayd terlepek..

Walau bagaimana cara kita melatih anak berpuasa, apa yang penting adalah mereka dapat menghayati puasa itu sebagai ibadah yang membina sifat ikhlas dan berintegriti dalam diri mereka.

Bulan puasa bukan masa untuk membazir makanan. Sentiasa latih anak-anak untuk berbuka puasa dalam keadaan sederhana.

Mudah-mudahan anak-anak kita dapat dilatih berpuasa dalam erti kata sebenarnya, Insya Allah

Sunday, July 19, 2009

MEMBINA KEYAKINAN DIRI ANAK


Faktor-faktor yang mempengaruhi keyakinan diri anak

Sejauh mana anak merasa dia diperlukan, dihargai dan dikasihi
Bagaimana dia menilai diri sendiri (dipupuk oleh kata-kata ibu bapa dan
orang yang rapat dengannya)
Menghargai pencapaiannya

Membina keyakinan diri anak dengan

Menghargai / memuji anak
Menyatakan sayang kepadanya
Meluangkan masa untuknya
Menggalakkannya membuat pilihan sendiri
Memupuk sifat berdikari
Menghargai dan mendengar pandangannya
Bersabar menerangkan sebab atau alasan sesuatu tindakan
Memberi ransangan positif
Menggalakkan anak mencuba aktiviti baru dan mencabar





Saturday, May 30, 2009

MENDIDIK ANAK BERDIKARI

Satu hari, teman di pejabat bertanyakan soalan.... bilakah sepatutnya kita melatih anak makan sendiri.... Lantas, aku berfkir, sebaik saja dia dapat memegang. Bila anak dah pandai memegang, berikan dia biskut untuk dia pegang dan suap ke mulutnya. Ianya dapat merangsang si anak untuk koordinasi pergerkan anggotanya (tangan dan mulut). Kadang2 kita dapat melihat anak menyuap ke mulutnya, tapi tak kesampaian. Biarkan. Itu adalah proses pembelajarannya.



Anak-anak perlu diajar berdikari sejak kecil lagi. Ada kalanya bila aku memerhatikan ada sesetengah ibu atau bapa terlalu 'protective'. Anak belajar memanjat tangga dibawa turun, dimarahi. Apa yang perlu dibuat oleh ibu/bapa ialah mengikutnya dari belakang. Anak main 'kotor' sikit tak boleh, baju anak comot sikit bising, macam2 lagi tak boleh... Naluri anak itu untuk menjelajah persekitarannya. Biarkan dia belajar, namun ibu / bapa perlu memerhati; sekiranya ada perkara merbahaya yang dibuatnya.




Anak yang terlalu dikongkong tidak akan dapat mengembangkan potensi dirinya. Tetapi anak yang terlalu bebas pula akan terdedah kepada banyak perkara merbahaya. Ibu / bapa perlu seimbangkan di antara keduanya.




Tuesday, August 12, 2008


PERANAN BAPA SEMAKIN MENCABAR
Oleh: Lokman bin Ismail

Masyarakat menghargai pengorbanan ibu. Hari Ibu disambut meriah setiap
tahun. Bermacam-macam program diadakan sempena Hari Ibu. Tetapi
pengorbanan bapa seperti dilupakan. Ramai tidak menyedari wujudnya
sambutan Hari Bapa. Tidak ada pihak mengadakan program meraikan Hari
Bapa. Tidak ada tokoh Bapa Mithali atau Bapa Soleh seperti dianugerahkan
kepada ibu sempena Hari Ibu.

Persoalan ini ditimbulkan bukan atas rasa irihati kaum bapa terhadap
kaum ibu. Tujuannya lebih menumpukan untuk melahirkan rasa kesedaran
kaum bapa terhadap tanggungjawab yang terpaksa ditanggung kerana manusia mudah lupa jika tidak diulang sebut tentang tanggungjawab mereka. Manusia kurang motivasi jika apa yang dilakukan tidak dihargai. Wajar benar sambutan hari Bapa turut dimeriahkan seperti sambutan Hari Ibu.
Perkara penting untuk melahirkan keluarga bahagia terletak kepada
kepimpinan bapa. Perkara itu meliputi keupayaan mendidik, menjaga
keselamatan, memberi kasih sayang, menyara perbelanjaan dan
mempertahankan maruah. Justeru, bapa perlu banyak berkorban demi
melaksanakannya.

Sesungguhnya dalam hal ini bapa menanggung amanah yang besar.
Maka dalam melaksanakan tugas tersebut memerlukan keikhlasan, kesediaan,
kesungguhan, pengetahuan tentang tugas kebapaan, kemampuan dan
ketakwaan kepada Allah SWT.

Semua aspek ini mempunyai pendekatan berbeza yang wajar dilakukan
oleh setiap bapa dengan perasaan yakin dan tenang. Setiap aspek memerlukan
kemahiran dan kemampuan khusus yang perlu dikuasai oleh kaum bapa.
Kemahiran kebapaan bukan lahir secara ‘kebetulan’ apabila bergelar bapa.
Semuanya memerlukan usaha ke arah itu. Seorang bapa dapat mendalami ilmu
kebapaan dengan menghadiri kursus, berkongsi pengalaman, pembacaan dan
penghayatan terhadap tugas.

Tugas bapa bukan setakat menyediakan keperluan hidup seperti tempat
tinggal, makanan dan pakaian kepada anak-anak. Bahkan belum sempurna
tugas tersebut biarpun telah berjaya memberi kemewahan material kepada
anak-anak. Keperluan bapa melaksanakan tanggungjawab adalah meliputi
keperluan fizikal dan rohani. Kedua-dua keperluan itu sama penting.
Bapa tidak patut menganggap tugas yang dilakukan sebagai satu beban.
Perasaan teras terbeban dengan tanggungjawab akan menghilangkan rasa
ikhlas. Ini menjadikan keadaan lebih kusut dan bercelaru. Tanggungjawab
kebapaan tidak dapat dilakukan dengan sempurna.

Sebenarnya memimpin keluarga ke jalan yang diredhai Allah SWT adalah
satu jihad bagi seorang bapa untuk mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT.

Setiap masa yang diluangkan untuk mendidik dan bermesra dengan anak dan
ahli keluarga juga adalah sebahagian daripada jihad. Apa yang dilakukan tidak
sia-sia. Setiap tenaga yang dicurahkan dan wang yang dibelanjakan untuk
keluarga adalah sedekah. Balasan pahala yang disediakan amat besar. Bapa
mithali mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW adalah contoh ikutan terbaik. Rasulullah
SAW menjelaskan aspek pergaulan dan kasih sayang adalah intipati kebahagiaan sesebuah keluarga. Oleh itu Rasulullah SAW menganjurkan agar setiap bapa sentiasa melakukan yang terbaik untuk keluarganya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang paling baik di
kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli
keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan
dengan ahli keluargaku.” (Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

Ramai bapa mengabaikan aspek kemesraan dalam pergaulan dengan anak
mereka. Mereka menganggap perkara tersebut tidak penting dalam
membina kebahagiaan keluarga. Ada sebilangannya yang lebih suka
menunjukkan sikap bengis sebagai cara mendidik anak. Dengan itu anak tidak
berpeluang ‘duduk rapat’ dengan bapa. Cara ini mengikut mereka lebih
berkesan agar anak-anak mudah mendengar kata dan tidak berani melakukan
perbuatan yang ditegah.

Namun begitu cara sedemikian mungkin berkesan ketika mana anak-anak
masih kecil tetapi hakikatnya kepatuhan anak kepada setiap larangan bukanlah
atas kesedaran atau kefahamannya mengapa sesuatu itu perlu dilakukan atau
dijauhi. Sebaliknya, anak tersebut tidak melakukan perbuatan dilarang hanya
disebabkan takut kepada hukuman.

Sebenarnya, bapa wajar sentiasa mengambil pendekatan terbaik untuk
membentuk hubungan mesra dan ceria dengan anak-anak. Ajarkan kepada anak apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Beritahu mereka mengapa begitu dan begini terjadi. Malah, bapa sendiri perlu menunjukkan contoh yang baik.

Di waktu itulah juga masa yang sesuai dijelaskan kaitan larangan dengan
kehendak agama dan undang-undang kerana semua yang betul dan salah
mempunyai alasan yang perlu diperjelaskan kepada anak. Jika ada perkara yang belum mampu mereka fahami, beritahu mereka “apabila dewasa nanti baru faham. Sekarang ini cukuplah tahu kena buat, jangan buat, boleh dan tidak boleh buat”.

Amat penting bagi bapa agar sentiasa berpegang bahawa konsep
mendidik anak hendaklah berterusan. Bapa adalah contoh ikutan untuk
membentuk peribadi anak. Oleh itu anak memerlukan masa bersama-sama bapa untuk memerhati dan mencontohi apa yang dilakukan oleh bapanya. Bapa adalah guru yang paling berkesan. Anak mudah ‘percaya’ apa yang diberitahu oleh bapanya.

Hal ini amat penting dalam soal akidah dan keimanan kerana bapa yang
mencorakkan akidah anak mengikut apa yang diajarkan dan anak ‘sedia’
menerima apa yang diberikan kepada mereka. Sekiranya bapa tidak
menjalankan tanggungjawab tersebut akan ada pihak lain akan mengambil alih.

Oleh itu amat penting bagi seseorang bapa memastikan apa yang sepatutnya
diterima oleh anak.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci bersih. Ibu bapalah bertanggungjawab mencoraknya anak itu menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Bukhari dan Muslim)

Pengaruh negatif persekitaran dan rakan sebaya contohnya boleh
menyebabkan anak-anak hilang pedoman jika tidak dibimbing. Anak yang
bermasalah dan terlibat dengan gejala yang tidak baik kebanyakannya adalah
berpunca dari kurangnya perhatian daripada bapa.

Hadith riwayat at-Tirmizi bermaksud: “Tidak ada sesuatu pemberian yang
lebih baik daripada seseorang ayah kepada anaknya selain daripada budi pekerti yang baik.”

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang beriman! Peliharalah diri
kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarnya ialah
manusia dan batu (berhala),” (at-Tahrim: 6)

Bapa mithali akan sentiasa mencari peluang untuk menghabiskan masa
bersama-sama dengan anak dan ahli keluarga. Bahkan anak menjadi inspirasi
kepada seseorang bapa untuk terus berusaha lebih gigih dan sentiasa
mengutamakan keluarga. Sebab itulah keletihan dan tekanan kerja akan hilang
apabila melihat wajah anak-anak serta mendapat layanan mesra daripada isteri.

Sebaliknya, bapa yang tidak bertanggungjawab akan menganggap anak
dan isteri sebagai beban dan menambahkan tekanan jiwa. Akhirnya mereka
menjadi mangsa melepas geram akibat tekanan perasaan yang sebenarnya
berpunca daripada masalah lain. Keadaan ini memburukkan lagi interaksi dan
kasih sayang dalam keluarga sehingga kehidupan menjadi lebih tertekan.
Sebab itulah, bapa bermasalah lebih suka berada di luar rumah bersamasama
rakan. Mereka lebih mengutamakan kawan-kawan daripada apa yang
diperlukan oleh anak-anak dan isteri. Tindakan ini sebenarnya tidak akan
menyelesaikan masalah.

Ramai juga para bapa yang sentiasa menghabiskan masa di luar rumah
akan mudah terlibat dalam aktiviti kurang baik. Akibatnya tanggungjawab
terhadap keluarga semakin diabaikan.

Oleh itu para bapa janganlah mengambil mudah kasih sayang dan
perhatian yang diperlukan oleh anak. Para bapa tidak boleh beranggapan
bahawa sudah memadai kasih sayang dan perhatian yang diberikan oleh ibu.
Diriwayatkan oleh Bukhari satu kisah bahawa pada satu hari semasa
Rasulullah mencium cucunya, perbuatan itu dilihat oleh Aqra bin Habis at-Tamimi lalu beliau mengatakan: “Aku mempunyai sepuluh anak, tetapi tidak seorang pun daripada mereka pernah aku cium.” Rasulullah SAW lalu menjawab: “Apa dayaku apabila Allah telah mencabut kasih sayang daripada hatimu”.

Rasulullah SAW tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai bapa
terhadap anak biarpun yang sudah berumahtangga. Rasulullah SAW sentiasa
mengunjungi rumah Fatimah dan bertanya khabar, serta memberi nasihat
berguna dalam menjalankan tugas sebagai isteri dan ibu. Malah, Rasulullah SAW sentiasa memberi sambutan mesra setiap kali ketibaan Fatimah mengunjungi baginda. Baginda bangun menyambut ketibaan Fatimah, memberi kucupan dan memimpinnya ke tempat duduk.

Sesungguhnya kasih sayang berterusan seorang bapa terhadap anak
biarpun yang sudah berkahwin bukanlah mengganggu urusan hidup anak,
kerana ikatan kasih sayang bapa terhadap anak adalah kasih sepanjang hayat.
Kesimpulannya, anak-anak akan lebih menghormati dan kagum kepada
bapa yang sedia memahami dan menghormati keperluan mereka. Anak tidak
akan mensia-siakan pengorbanan bapa yang menjalankan tanggungjawab yang
terbaik.

Friday, July 4, 2008

PERANAN BAPA DALAM PENDIDIKAN ANAK-ANAK

Pendidikan anak-anak biasanya banyak dikaitkan dengan peranan ibu. Sebenarnya peranan bapa adalah lebih penting untuk membangunkan anak yang yang lebih cemerlang.


Dapatkan panduan daripada:
http://groups.google.com/group/gedungilmu/files?upload=1