Tuesday, August 25, 2015
MEMBINA KERJAYA ANAK
Ramai yang bertanya bagaimana anak-anak boleh dibentuk untuk mencapai kerjaya mereka serta dikatakan berjaya dalam kehidupan mereka.
Pertama sekali perlu didefinasikan maksud "berjaya". Apakah yang kita maksudkan dengan berjaya.
Berjaya dalam ertikata yang sebenarnya ialah berjaya dari segi keimanannya kepada Allah serta pengorbanannya, berjaya dari segi akhlaknya kepada semua orang terutama kepada ibu bapa dan guru-gurunya serta berjaya dalam kehidupanya. Tidak bermewahan dan tidak meninggi diri.
Untuk mencapai kejayaan sedemikian, bukanlah perkara yang mudah. Perlu ada pertautan hati-hati mereka dengan Allah swt dan seterusnya pertautan hati dengan ibu dan bapa. Sentiasa rapat dengan ibu dan bapa dan memohon restu mereka.
Dengan adanya pertautan hati dengan Allah swt, mereka akan jadi pelajar yang tekun dan istiqomah seterusnya menjadi pekerja yang berintegriti tinggi. Malaksanakan tugasan dengan amanah dan berkualiti dan boleh dipercayai.
Bagaimana melahirkan anak-anak sedemikian? Balik semula kepada kualiti ibu dan bapa, penghayatan ibu bapa dan persekitaran yang mereka bina dalam mendidik anak-anak. Tidak terlalu dimanjakan sehingga mereka terlalu bergantung kepada ibu bapa. Mereka perlu diajar membuat keputusan sendiri dan berdikari. Pada awalnya di bawah bimbingan ibu bapa, seterusnya ibu dan bapa perlu memberi kepercayaan kepada mereka untuk menentukan sesuatu keputusan. Pupuk keyakinan dalam diri mereka.
Dari kecil lagi ibu dan bapa perlu memerhati kecenderungan dan minat anak-anak. Seterusnya membimbing mereka dalam bidang yang diminati. Membimbing di sini juga bermaksud memberi pendedahan awal kepada bidang kerjaya yang bakal diceburi oleh anak itu secara langsung atau tidak langsung.
Subscribe to:
Posts (Atom)