Keluarga merupakan unit terkecil dalam masyarakat. Unit-unit keluarga dalam satu taman perumahan, kampung atau qariah membentuk satu kelompok komuniti. Komuniti ini akan menjadi komuniti yang baik, sihat dan sejahtera sekiranya unit-unit keluarga di dalamnya terdiri dari unsur-unsur yang sihat dan baik.
Bertolak dari pernyataan ini, unit-unit keluarga sewajarnya menjadi tempat pembangunan manusia yang paling penting. Pembangunan negara bermula dengan pembangunan keluarga.
Siapakah yang perlu memainkan peranan utama dalam membangunkan manusia ini? Tentulah ibu dan bapa seperti kata hadis, anak itu lahir seumpama kain putih, ibu dan bapanyalah yang akan mencorakkannya.
Bagaimana pembangunan manusia boleh dimulakan dalam unit-unit keluarga? Ianya semestinya bermula dengan pemilihan bakal ibu dan bapa yang berkualiti. Orang yang tidak mempunyai apa-apa tidak dapat memberikan apa-apa...... Sekiranya telah jadi ibu dan bapa pula, perlulah lengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran keibubapaan. Tersalah didik anak akan memberi kesan jangka panjang kepada mereka.
Seringkali juga kita melihat, sesebuah keluarga menyerahkan hal-hal pendidikan anak-anak kepada si ibu. Sebenarnya peranan bapa sangatlah penting dan besar dalam membentuk anak yang seimbang. Anak-anak yang dibesarkan tanpa didikan dan perhatian bapa tidak dapat dibangunkan sebagai insan yang seimbang.
Pendidikan anak-anak yang seimbang memerlukan ibu dan bapa yang berperanan; seterusnya membina insan yang seimbang, soleh wa musleh, berketrampilan dan akan menjadi unsur-unsur "sihat" dalam masyarakat.